Hati gembira terasa bahagia
Itulah tanda nikmat dari-Nya
Ingatlah Allah bersyukur pada-Nya
Ucapkanlah Alhamdulillah

RSS

Monday, November 2, 2009

Sumayyah binti Khayyath - Hati Seorang Mujahidah

Sumayyah binti Khayyath, syahidah pertama umat Islam yang menumpahkan darahnya demi mempertahankan keimanannya bersama suami dan anak lelakinya. Teladan istimewa yang wajar dikenang sepanjang zaman.

Sumayyah binti Khayyath adalah seorang hamba sahaya milik Abu Hudzaifah bin Al-Mughirah. Oleh tuannya, ia dikahwinkan dengan seorang lelaki asal Yaman yang bernama Yasir bin Amir yang merupakan perantau di kota Makkah. Kerana banyak mendapat halangan, Yasir meminta perlindungan kepada Abu Hudzaifah yang merupakan kepala suku Bani Makhzum.

Hasil perkahwinannya dengan Yasir bin Amir, Sumayyah dikurniai anak lelaki yang diberi nama Ammar bin Yasir. Melalui anak lelakinya inilah, pasangan Yasir dan Sumayyah mengenali agama Islam.

Suatu hari, Ammar yang mula menginjak usia remaja mendengar khabar tentang kedatangan nabi baru yang membawa ajaran Tuhan. la pun segera mencari dan ingin membuktikan khabar tersebut. Sebaik sahaja mengenali Rasulullah s.a.w., Ammar pun terus jatuh hati dan langsung mengucapkan ikrar syahadatnya.

Mendapat khabar gembira, Ammar segera menceritakan kepada ayah bundanya. Berbeza dengan kebanyakan orang Quraisy yang anti bahkan memusuhi Islam, Yasir dan Sumayyah justeru menyambut gembira khabar gembira ini. Bahkan mereka kemudian mengikuti jejak Ammar untuk bersyahadat dan menjadi Muslim dan Muslimah.

Keislamanan yang awalnya disembunyikan akhirnya diketahui juga. Mendengar cerita bahawa keluargaYassir ini memeluk agama Islam menimbulkan kemarahan Abu Hudzaifah. la memaksa supaya keluarga ini meninggalkan Islam dan kembali kepada agama nenek moyang mereka yang menyembah latta dan uzza. Namun ketiganya berkeras mempertahankan keyakinan mereka.
Seperti yang dialami oleh golongan awal yang memeluk Islam, Yasir, Sumayyah, dan Ammar mengalami banyak sekali halangan dan cubaan. Hal ini ditambah lagi kerana status keluarga mereka yang bukan daripada kalangan bangsawan Quraisy. Akibatnya penderitaan yang mereka alami keterlaluan dan mereka diseksa dengan kejam melampaui batasan kemanusiaan.

Orang yang paling kejam menyeksa mereka adalah orang-orang yang selama ini melindunginya iaitu daripada kalangan Bani Makhzum yang dipimpin Abu Hudzaifah. Sumayyah yang merupakan seorang wanita, dihumban ke atas pasir, lalu tubuhnya ditimbus dengan pasir yang sangat panas.

Seakan belum puas hati, dada Sumayyah kemudiannya dihimpit dengan batu besar supaya ia tidak dapat bernafas. Lalu mereka memaksa Sumayyah untuk mengimani berhala-berhala nenek moyang mereka. Namun wanita solehah ini tetap bertahan dengan keyakinannya kerana ingat janji Allah SWT bagi hamba-Nya yang bertakwa, iaitu syurga.

Yasir, Sumayyah, dan Ammar terus mendapatkan seksaan yang sedemikian keji. Mereka didera, dicambuk, disalib di padang pasir yang terik, ditindih dengan batu panas, dibakar dengan besi panas, bahkan sampai ditenggelamkan ke dalam air hingga sesak nafasnya dan mengelupas kulitnya yang penuh dengan luka.

Suatu hari ketika Ammar sudah tidak mampu untuk menanggung penyeksaan, ia kemudian mengadu pada Rasulullah s.a.w. mengenai keadaannya. Rasul yang setiap hari datang memberikan sokongan lantas berseru, "Sabarlah, wahai keluarga Yasir. Tempatyang dijanjikan bagi kalian adalah syurga."

Sekalipun berat seksaan yang diterima, namun ketiganya tetap mempertahankan keislamannya.
Ketika berada dalam keadaan sedar, tidak ada satu pun kalimat yang teriontar dari mulut ketiganya kecuali kalimat "Ahad..Ahad.." seperti yang dilontarkan Bilal bin Rabah. Hal ini semakin meningkatkan amarah orang Quraisy kerana gagal melunturkan keimanan mereka.

Hingga suatu ketika, orang Quraisy berasa putus asa dengan keteguhan iman ketiganya, mereka memutuskan membunuh Sumayyah. Adalah Abu Jahal yang melaksanakan perbuatan keji tersebut. Dengan tombaknya yang runcing, Abu Jahal menjadikan Sumayyah mujahidah pertama yang gugur di jalan Allah apabila tombak tersebut menembusi dada Sumayyah.

Menjelang wafatnya, tidak sedetik pun Sumayyah menggadaikan keimanannya. Sumayyah binti Khayyath simbol ketabahan hati, kekuatan iman, dan ketangguhan jiwa seorang mujahidah. la rela mengorbankan segala-galanya, termasukjiwa dan raganya demi Islam.

Sumayyah binti Khayyath syahid dengan meninggalkan teladan yang luar biasa. Tidak hairan ia menjadi wanita yang sangat mulia dengan keberanian dan ketabahannya. "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman" sedang mereka tidak diuji lagi?" (Surah Al Ankabut, ayat 2).

Sumber: halaqah.net




Dalam diri selembut sutera

Kau memiliki iman yang teguh
Kau nyalakan obor agama dirimu bak lentera
dibelengu jahiliah kau tempuh dengan berani
Walau pun jasadmu milik tuan
Tetapi hatimu milik Tuhan

Padang pasir menjadi saksi
ketabahan keluarga itu
Tika suami dan anak dibaring mengadap mentari
Disuruh memilih iman atau kekufuran
Samar jahiliah atau sinaran akidah

Sabarlah keluarga Yasir
Bagimu syurga disana
Dan kau pun tega memilih syurga
Walau terpaksa mengorban nyawa
Lalu tombak yang tajam menikam
jasadmu yang tiada bermaya
Namun iman didadamu sedikit tidak berubah

Darahmu menjadi sumbu pelita iman
Sumaiyah kaulah lambang wanita solehah
Tangan yang disangka lembut
menghayun buaian
Mengoncang dunia mencipta sejarah

Sumaiyah kau dibunuh didunia sementara
Untuk hidup disyurga yang selama-lamanya
Kaulah wanita terbaik, sebaik manusia
Namamu tetap menjadi sejarah

Tuesday, September 15, 2009

Kelebihan Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan berkat, bulan rahmat, bulan keampunan serta punya banyak kelebihan. Bersempena Ramadhan ini, dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

Rasulullah SAW yang maksudnya : Apabila telah tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan.
(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi )

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya : Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.
(HR Imam Nasai'e, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Baihaqi)

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya : Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untuk-Ku dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad ditangan-Nya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.
(HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan Baihaqi)

Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun
(HR Tirmidzi)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa'd R.A daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya: 'Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari Kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: 'Dimanakah orang-orang yang berpuasa?' Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorang pun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk dari padanya.'
(HR Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A daripada Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: 'Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: 'Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia (orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku.'
(H.R Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri R.A, aku mendengar Nabi SAW bersabda: Maksudnya: 'Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan) 70 tahun.'
(HR Bukhari)

Dari Ibnu 'Umar RA, katanya Rasulullah saw. bersabda: 'Carilah malam qadar itu pada sepuluh malam yang akhir bulan Ramadhan. Jika kamu lelah, maka janganlah dilewatkan pada tujuh malam yang masih tinggal.'
(HR Muslim)

Dari Abdullah bin Umar RA. bahwa Nabi SAW. bersabda: 'Puasa dan Al Qur'an memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari kiamat. Puasa berkata, 'Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya makan minum dan memenuhi syahwatnya pada siang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.' Dan Al Qur'an pun berkata, 'Aku telah menghalanginya tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.' Lalu syafaat keduanya diterima Allah.'
(H.R Ahmad)

Dari Abu Hurairah RA bahwa Nabi SAW bersabda: 'Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:
1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kesturi.
2. Para malaikat selalu memintakan ampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurga-Nya sambil berkata, 'Hamba-hamba Ku yang soleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.'
4. Pada bulan ini diikat syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Para sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah, apakah itu malam Lailatul Qadar?' Beliau menjawab, 'Tidak, karena orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya manakala sudah menyelesaikan pekerjaannya.' (H.R Ahmad)

Dari Jabir RA bahwa Nabi SAW bersabda: 'Puasa itu perisai yang dipergunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka.'
(HR Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda: Sahur itu seluruhnya berkat, karena itu janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, karena Allah dan malaikat-Nya memberi salawat kepada orang-orang yang makan pada waktu sahur.
(H.R Ahmad)

Sabda Rasulullah SAW.; 'Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir.'
(H.R Ahmad, Bukhari, Abu Dawud & Tirmidzi)

Nabi SAW bersabda; 'Tidurnya orang yang puasa tetap dalam ibadat dan diamnya dianggap tasbih dan amalnya dilipat gandakan dan doanya mustajab dan dosanya diampunkan.'
(Riwayat Al Baihaqi)

Rasululah SAW bersabda; 'Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan. Aku ini puasa.'
(Sahih Bukhari)

Wednesday, August 12, 2009

Petua Khusyu' Solat


Khusyu' bolehlah di ertikan dengan menumpukan sepenuh perhatian dan tumpuan semasa solat seperti ia berhadapan dengan Allah. Hati dan fikirannya berada sepenuhnya di dalam solat tersebut dan tidak lalai daripada mengingati perkara-perkara lain di luar solat.

Sebenarnya khusyu' dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t:-

yang bermaksud “Telah berjayalah orang-orang yang beriman,
iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”
[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2].

Firman-Nya lagi:-

"Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama
(Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk"
[Surah Al-Baqarah : ayat 238]


Ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.

Firman Allah lagi:-

yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat,
(iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya."
[Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya."

Nabi SAW bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat."

Hadis lain dari Rasulullah SAW. "Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang". serta "Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan".

Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang:


Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.


Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepada-Nya.

Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Saidina Ali R.A. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Saidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apa saja yang diperintahkan dan disampaikan oleh Rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:

"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu.
Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,
kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.
(Yakni) orang-orang yang meyakini,
bahawa mereka akan menemui Tuhannya
dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya"
[Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Source: http://www.e-zakat.com.my/